BAGAN DATUK: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selesai membuang undi di Madrasah Manbail Ullum, Sungai Nipah Darat di sini hari ini.

Beliau yang tiba pada jam 8.15 pagi di sekolah tersebut selesai menunaikan tanggungjawabnya pada jam 8.43 pagi.

Ahmad Zahid ditemani isteri, Datin Seri Hamidah Khamis dan anak, Datuk Nurul Hidayah, yang turut menunaikan tanggungjawab mereka di lokasi sama.

Selesai mengundi, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mengadakan sidang media dan memaklumkan bahawa gabungan itu menggerakkan lebih 200,000 jentera untuk membawa pengundi keluar.

Menurutnya, usaha itu dilakukan bagi memastikan lebih ramai pengundi keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Untuk rekod, seramai 58,183 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Bagan Datuk layak mengundi pada PRU kali ini.

Perebutan kerusi tersebut melibatkan saingan empat penjuru dengan penyandangnya, Ahmad Zahid berdepan saingan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dari Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini dilabel 'giant killer'.

Selain itu, dua lagi calon bertanding ialah Dr Muhammad Faiz Na'aman dari Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas, Mohamad Tawfik Tun Dr Ismail.

Ahmad Zahid menang dalam PRU14 dengan majoriti 5,073 undi.