Penyandang, S Kesavan, 47 tahun, dari Pakatan Harapan (PH) akan dicabar Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran, 57 tahun, yang mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Seri G Irudianathan, 56 tahun, mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Ahmad Fauzi Mohd Jaafar, 49 tahun (Pejuang).
Tiga calon Bebas yang turut mencuba nasib ialah, suri rumah, R Indrani, 50 tahun, bekas Ketua Penerangan PN Sungai Siput, Baharudin Kamarudin, 63 tahun, dan ahli perniagaan, N Rajah, 57 tahun.
Bagaimanapun, seorang peniaga tempatan S Nagalingam, 55 tahun, yang pernah dua kali bertanding kerusi sama, membatalkan hasrat untuk mencuba kali ketiga pada saat-saat akhir
Pada PRU14, Kesavan menewaskan calon dari BN, Pas dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan majoriti 5,607 undi.
Difahamkan, sebelum ini, bilangan calon paling ramai pernah bertanding Parlimen Sungai Siput ialah lima orang.
Sementara itu, tiga calon akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang dan empat calon di DUN Jalong.
Penyandang kerusi Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun (BN) akan dicabar Ahmad Dazlie Osman (PN) dan Zaim Sidqi Zulkifli (PH).
Di DUN Jalong pula, penyandang Loh Sze Yee (PH) akan dicabar Datuk Naran Singh (PN), Jerry Pan (BN), R. Indrani (Bebas).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Sungai Siput, Mohd Azhar Alias mengumumkan senarai calon yang bertanding kira-kira jam 11.30 pagi.