Daerah kedua terbesar di Negeri Sembilan selepas Jempol ini mempunyai bentuk muka bumi yang kebanyakannya berbukit bukau, terutama di kawasan sebelah utara yang merupakan penghujung Banjaran Titiwangsa.
Bagi sebahagian anak muda yang ditemui Astro AWANI di daerah berkenaan, mereka mengakui sebahagian besar keperluan dan kemudahan asas sudah dinikmati, namun capaian terhadap sumber maklumat seperti penyediaan Internet secara percuma adalah kemudahan yang dinantikan oleh golongan itu.
"Bagi golongan muda seperti kami kemudahan akses seperti Wi-Fi percuma itu adalah perlu selari dengan kemudahan yang dikecapi hari ini.
"Dalam masa yang sama, kami juga saya harap lebih banyak peluang pekerjaan di daerah ini mampu disediakan pada masa depan untuk generasi muda," kata Muhamad Ridzuan Abd Rahim ketika ditemui Astro AWANI yang membuat liputan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Jelebu.
Sementara itu, bagi sebahagian penduduk lain segala yang dinikmati hari ini sudah cukup dan memadai.
Muhammad Hakim Sofian misalnya, berkata dia merasakan kemudahan yang ada sudah cukup untuk menawarkan kehidupan yang selesa kepada warga Jelebu.
"Bagi saya apa yang ada dah cukup untuk satu kehidupan yang baik dan selesa. Dengan fasiliti dan kemudahan yang ada, bagi saya tiada masalah dalam menjalani kehidupan yang sama seperti orang lain," katanya.
Di sebalik kenikmatan dan ketenangan hidup yang dikecapi warganya, Jelebu turut menyimpan khazanah sejarah yang amat berharga yang perlu dijaga.
Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, sebahagiannya agak terbiar dimamah usia dan tidak dipelihara dengan baik.
Antaranya termasuklah bekas penjara lama yang dibina sekitar era 1880-an yang kini menjadi sebahagian bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Jelebu.
Agak malang sebenarnya peninggalan sejarah itu tidak dipelihara dan dipulihara dengan baik.
Begitu juga dengan Rumah milik Undang Luak Jelebu ke-14, Almarhum Datuk Abu Bakar Maamor yang mungkin lebih dekat dengan sejarah latar belakang penduduk setempat di situ.
Ia kini sangat usang selain dimamah usia dan mungkin akan lebih teruk jika tiada kerja-kerja pemulihan yang sewajarnya dilaksanakan.
Banyak lagi monumen sejarah yang penting di sekitar daerah itu yang memerlukan kerja-kerja pemulihan bagi mengelakkan ia hilang begitu sahaja.