TDM menjelaskan kenyataan PTD telah dimanipulasi oleh pihak berkepentingan dan berupaya menjejaskan imejnya.
"Dalam artikel bertarikh 6 Nov 22, memetik kenyataan 'Anggota Tentera Diingat Tidak Terbabit Secara Langsung Kempen PRU15' (https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2135786) telah dimanipulasi dengan kenyataan berikut 'TETAPI SAYA BENARKAN MANTAN MENTERI PERTAHANAN MASUK BERKEMPEN DI DALAM MANA-MANA KEM TENTERA DARAT DIA BERTANDING'.
"Kenyataan ini telah tersebar di aplikasi WhatsApp, adalah tidak wajar kerana disifatkan menyebarkan fake news (berita palsu).
"TDM memandang serius isu ini dan menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar dan dilihat mempunyai unsur tidak baik oleh pihak yang terbabit," menurut kenyataan itu, pada Rabu.
Menurut TDM, PTD dalam kenyataannya semasa sidang media di Majlis PenganugerahanPingat Jasa Malaysia kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini hanya memperingatkan anggota tentera tidak boleh terlibat secara langsung termasuk turun padang berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"...ini kerana dianggap melanggar peraturan yang ditetapkan kepada anggota ATM. Malah turut menyatakan bahawa setiap anggota berhak untuk mengundi dan memilih siapa sahaja dalam PRU15 bagi menentukan masa depan negara.
"TDM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memanipulasi atau cuba memprovokasi melalui penyebaran berita yang tidak benar yang akan menjejaskan nama baik TDM amnya dan nama baik PTD khususnya," menurut kenyataan itu.
Oleh itu, TDM menyeru agar semua pihak berhati-berhati dalam menyebarkan sebarang berita atau maklumat yang diterima dan disarankan agar menyemak dahulu kesahihan sesuatu sumber berita sebelum disebarkan.
-- BERNAMA