KUALA TERENGGANU: Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menyifatkan 2023 sebagai tahun bukan 'biasa-biasa', sebaliknya penuh dengan cabaran hebat, justeru kerajaan yang benar-benar stabil diperlukan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terbela.

Beliau berkata cabaran buat ahli-ahli Parlimen yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sangat besar berikutan kerajaan baharu dibentuk berada dalam situasi ekonomi dunia sangat mencabar.

"Sebagai orang berpengalaman dalam kerajaan, terasa sekali cabaran mereka berada di Parlimen dan orang yang akan membentuk kerajaan.

"Sebab mereka akan membentuk kerajaan dalam keadaan kebanyakan negara mengalami defisit besar kerana dilanda pandemik COVID-19, (berlaku) perbelanjaan luar jangka yang tiada dalam belanjawan," katanya kepada pemberita selepas program bersama calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rozi Mamat di Pulau Bahagia dekat sini semalam.

Katanya, kerajaan yang akan datang perlu menguruskan isu-isu penting antaranya ekonomi, kestabilan politik serta mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.

Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata sekiranya kerajaan dibentuk tidak mempunyai keupayaan dan pengalaman, maka pentadbiran negara akan mengalami situasi sepertimana selepas PRU14 dan itu sangat merugikan rakyat.

"Saya rasa hanya BN dapat menawarkan kestabilan dan kemakmuran berdasarkan pengalaman yang ada jauh melebihi parti-parti lain. BN ada pakej lengkap untuk membawa kestabilan dan kesejahteraan... kita dah buktikan walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pegang sekejap, prestasi baik daripada (kerajaan) 16 dan 22 bulan," katanya.

Selain itu, Annuar turut mengingatkan jentera BN supaya melipat gandakan usaha dalam baki tempoh berkempen ini dan tidak mengambil mudah saingan daripada semua parti kerana pilihan raya kali ini berdepan dengan pelbagai cabaran baharu.

"Kita berdepan banyak faktor tiada sebelum ini antaranya jumlah pengundi muda yang cukup ramai, rakyat melalui episod tiga kerajaan dan rakyat akan membuat penilaian dan masalah-masalah dalam UMNO sendiri yang perlu diuruskan," katanya.

Katanya, semua pihak tidak boleh terlalu yakin kerana semua parti berupaya memberi saingan yang sengit.

-- BERNAMA