Pakar Kesihatan Awam, Dr Farhan Rusli menegaskan, ini penting bagi membolehkan kerajaan baharu nanti menumpukan fokus pada usaha membaik pulih ekonomi dan bukan memerangi penularan wabak berkenaan.
"Kita kena pastikan pihak yang dipilih membentuk kerajaan nanti tidak dibebankan dengan menangani kes COVID-19 yang naik gara-gara PRU, jadi bermakna SOP kena ubah dan diperketatkan.
"Kita tahu dari segi ekonomi makin merosot, mata wang menjunam, kita tidak mahu beban kerajaan baharu... jadi ini masa untuk pastikan kes semasa PRU tidak melonjak.
"Kalau pihak berwajib tidak mahu keluarkan arahan, kita sebagai rakyat ketatkan sendiri bagi membantu dan melindungi diri sendiri," katanya ketika muncul dalam pogram Malaysia Memilih, pada Sabtu.
Jelas Dr. Farhan, anggota masyarakat juga disarankan agar memilih pemimpin dalam kalangan mereka yang memimpin melalui teladan dan meletakkan kepentingan masyarakat awam sebagai salah satu keutamaannya.
"Pilih pemimpin yang lead by example, apabila berkempen pakai pelitup muka, yang tunjuk gaya hidup yang betul dan sihat serta melindung diri.
"Harus diingat, apa saja kita yang kita buat, seperti tolong orang berkempen, kalau kita dijangkiti COVID-19, kita yang masuk hospital, jadi kena jaga diri sendiri," ujarnya.
Dr Farhan juga mencadangkan agar masa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperuntukkan masa mengundi khas bagi mereka yang positif COVID-19 menunaikan tanggungjawab, dalam masa yang sama memastikan risiko jangkitan di paras minima.
"Mereka yang positif boleh diberi keutamaan mengundi pos, atau adakan masa yang khusus. Pengundian berlangsung dari jam 8 pagi sehingga 5 petang, tetapi ini peraturan sendirii.
"Tidak salah kalau tukar masa kepada 8 pagi hingga 4 petang, dan mereka yang positif COVID-19 mengundi dari jam 4 petang hingga 6 petang, sebagai contoh.
"Ini langkah proaktif yang akan membenarkan semua menjalankan tanggungjawab tetapi pastikan keselamatan juga terjamin," katanya lagi.
Kes harian baharu COVID-19 negara meningkat 54% untuk tempoh seminggu (29 Oktober - 4 November 2022) kepada sebanyak 25,184 dengan kes empat angka dilaporkan dua hari berturut-turut, Khamis (4,711) dan Jumaat (4,360).
Jumlah kes harian baharu COVID-19 untuk seminggu sebelumnya (22 Oktober - 28 Oktober) adalah sebanyak 16,346 kes.