SUNGAI BULOH: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa berhubung dakwaannya mengenai anggota tentera di Bera, Pahang, sudah mengundi awal untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

Beliau berkata ini berikutan kenyataan Presiden PKR itu yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) semalam yang memaklumkan beliau mempunyai bukti berhubung dakwaan tersebut dan akan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Dia (Anwar) kata sudah ada bukti dan sepatutnya dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sepetang Bersama Pemimpin, di sini, hari ini.

Hishammuddin turut menjelaskan bahawa proses undi pos adalah kebiasaan buat warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas dan tidak dapat hadir pada hari pengundian.

"Tak akan nak letak maruah, integriti tentera setakat RM300, kenyataan dia (Anwar) menimbulkan kemarahan dalam warga ATM.

"Undi pos (adalah) suatu perkara biasa, masa mereka menang masa PRU14 ada undi pos tetapi nak tuduh anggota kita menerima RM300 untuk apa tujuannya sampai hari ini tidak jawab," katanya.

SPR menetapkan 15 Nov sebagai hari pengundian awal manakala hari pengundian adalah pada 19 Nov ini.

-- BERNAMA