KUANTAN: Calon baharu Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman nanti akan tetap dipilih daripada parti Pas, kata Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

"... secepat mungkin, kerana hari ini tak mungkin kita akan mencari calon baharu. Itu adalah kerusi Pas," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam di sini hari ini.

Calon PN bagi DUN Tioman Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada kira-kira 3.30 pagi tadi di Hospital Rompin, menyebabkan SPR Pahang memaklumkan proses pengundian bagi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini, ditangguhkan.

Pada PRU15, DUN Tioman sepatutnya melibatkan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).

Allahyarham yang juga Ketua Pas Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman sebelum ini pernah bertanding di DUN sama pada pilihan raya umum 2018.

Saifuddin yang juga penyandang Parlimen Indera Mahkota mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergiannya satu kehilangan kerana peribadi Allahyarham yang baik selain berpotensi untuk menerajui kawasan itu.

-- BERNAMA