Khairy Jamaluddin Abu Bakar, calon BN P.107 Sungai Buloh berkata, dengan itu, BN akan dilihat sebagai parti yang benar-benar serius mengangkat suara kelompok masyarakat yang mewakili 77 peratus rakyat negara ini.
Maka, tegas beliau, BN mesti keluar dari zon selesa dan mencabar diri untuk membuktikan bahawa ia adalah parti yang dapat memenuhi aspirasi penduduk urban yang berdepan dengan realiti kehidupan semasa, di samping sokongan padu yang diperoleh daripada masyarakat luar bandar.
“Menang kalah itu memang adat pertandingan, tapi kita kena ambil risiko, jangan hantar calon 'lightweight' sahaja ke kawasan-kawasan bandar.
“Kena hantar pemimpin parti, menteri ke kawasan tersebut, supaya kita memberi mesej bahawa kita serius untuk mendapatkan sokongan daripada orang bandar.
“Kalau tidak, kita akan selama-lamanya jadi parti luar bandar, parti yang hanya akan bertanding di kawasan-kawasan selamat.
"Dan kita tak akan jadi relevan dan menggemakan (suara) majoriti rakyat Malaysia,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Khamis.
Oleh sebab itu, beliau menyahut cabaran untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh, kawasan yang rencam penduduknya dan tegar sokongannya kepada Pakatan Harapan (PH).
Kata Khairy, pada usia 46 tahun dan setelah tiga penggal mewakili rakyat Rembau, beliau memerlukan cabaran baharu yang dapat menjadikannya pemimpin yang lebih baik dalam mengorak langkah menuju cita-citanya menjadi Perdana Menteri satu hari nanti.
“Sebab itu saya menawarkan diri saya sebagai satu faktor semak dan imbang.
"Yang penting, sekurang-kurangnya saya boleh jadi suara orang Sungai Buloh yang membawa satu pandangan kontra terhadap 'establishment' di sini yang berpihak kepada PH.
“Jadi, kena ada seorang pejuang yang prihatin, yang berani melawan arus untuk mempercepatkan penyelesaian kepada isu-isu dihadapi orang Sungai Buloh.”