SIMPANG RENGGAM: Dua penyokong calon Pakatan Harapan (PH) Maszlee Malik mencuri tumpuan apabila hadir memberi sokongan dengan berpakaian busana pengantin.

Kedua-dua mereka yang mengetuai perarakan parti itu turut lengkap diiringi pengapit bersama bunga manggar.

Menurut Mohd Sailan Sadi, 54, inisiatif itu dibuat atas semangat perjuangan parti serta sokongan tidak berbelah bagi terhadap Maszlee Malik.

"Saya pun orang parti (PH) jadi kita buat atas semangat perjuangan parti dan pastinya kita nak harapkan dia (Maszlee Malik) untuk menang," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Sementara itu, NormizatulAmee Mohd Rafie, 25, berkata meskipun persiapan itu dibuat pada saat akhir, namun pihaknya tetap berusaha menjayakan perancangan itu demi menyokong penyandang kerusi berkenaan.

“Saya tempah baju di saat saat akhir tapi alhamdulillah sempat siap untuk saya pakai hari ini untuk menyatakan sokongan terhadap Maszlee.

"Baju pun siap pukul 2 pagi jadi sempatlah pakai untuk hari ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang ikatan sebagai pasangan mahupun keluarga, sebaliknya hanya hadir menjadi sebahagian daripada penyokong parti itu.

Terdahulu, sekumpulan penyokong PH berarak seawal jam 8.15 pagi bermula dari Pusat Khidmat Wakil Rakyat Simpang Renggam menuju ke pusat penamaan calon.