Sebagai hab pelancongan, keunikan Mersing yang turut terkenal sebagai pintu masuk ke rangkaian pulau indah dengan julukan 'Maldives of Malaysia' itu sememangnya mempunyai potensi besar untuk berdiri sama tinggi sebagai produk pelancongan terkenal di peringkat antarabangsa.
Namun usaha untuk menuju ke arah itu bukan seperti ‘memetik jari’ dan bukan hanya sekadar merancakkan sektor pelancongan bahkan aspek infrastruktur perlu bergerak selari.
Misalnya soal jalan raya yang menjadi penghubung pelancong ke bandar itu dikatakan masih lagi tidak mencapai standard sepatutnya.
Tidak pelik untuk diceritakan bahawa mana-mana pihak yang pernah melalui kawasan itu pastinya akan merasai pengalaman seperti menaiki ‘roller coaster’.
Ia mungkin situasi yang memeranjatkan pengunjung luar terutamanya buat mereka yang kali pertama berkunjung ke pusat pelancongan itu, tapi mungkin tidak buat penduduk setempat yang sudah menjadi mangli dengan keadaan itu.
Bagi orang luar yang jarang datang ke Mersing, ia mungkin tidak menjejaskan mereka, namun bagi pengguna harian terutama penduduk tempatan, keadaan itu menyusahkan hidup, malah ada secara sinis mengungkapkan, jalan sedemikian menguntungkan bengkel membaiki kenderaan.
Seorang penduduk, Jasbir Singh, mendakwa, keadaan jalan yang kurang baik bukan hanya di luar kawasan bandar, laluan utama di bandar juga ada yang teruk seolah-olah 'menanti masa untuk rebah'.
“Memang boleh roboh bila-bila kalau tengok pun jalan itu memang dah senget, kalau muatan berat lalu mungkin boleh terbalik dan runtuh tanah.
“Memang jalan ada turap semula tapi dia tak tahan lama dan akan berlubang balik dan inilah punca kenderaan rosak, ini situasi setiap hari yang penduduk hadapi,” katanya ketika ditemui Astro AWANI yang berada di Mersing sempena liputan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.
BACA: PRU15: Jadikan Mersing hab pelancongan berkelas dunia, mula dengan selesai isu jalan raya - Pengundi
BACA:PRN Johor: Jalan di Mersing 'buat kepala jadi pusing'
Bukan setakat itu, faktor jalan yang gelap dan kurang pencahayaan juga dikatakan telah mengundang musibah kepada salah seorang penduduk, Husin Anas, yang pernah terbabit kemalangan akibat dirempuh kenderaan.
Husin mendakwa, disebabkan kelemahan infrastruktur jalan raya itu, dia terpaksa menahan sakit akibat patah kaki dan tangan selain masih menggunakan tongkat sehingga kini.
Menurutnya, operasi menurap jalan juga ada kalanya dilakukan di kawasan yang tidak sepatutnya sedangkan wujud beberapa lagi laluan kritikal yang lebih wajar diberi perhatian.
“Jalan yang tak patut turap tapi diturap dan lampu jalan memang kurang jadi gelap dan berisiko untuk hantar anak sekolah pagi-pagi dan yang pulang kerja pada waktu malam.
“Saya sendiri baru terlibat kemalangan baru-baru ini dirempuh kenderaan, mungkin faktor kurang lampu jalan jadi punca kereta rempuh saya,” katanya.
Bukanlah langsung tiada perubahan, tidak dinafikan wujud usaha menambah baik laluan dan perubahan drastik itu dapat dilihat di kawasan selekoh Sungai Melikai yang sebelum ini menyaksikan banyak nyawa melayang.
Perkara itu juga turut diakui oleh seorang lagi penduduk tempatan, Ahmad Sofi Daud, yang berpendapat ia perlu dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.
“Kita berterima kasih kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan kerana turun padang. Walaupun ambil sedikit masa tapi Alhamdulillah banyak perubahan kita nampak.
“Cuma kalau boleh banyak lagi kawasan yang perlu tumpuan sama seperti ini terutamanya di laluan-laluan utama,” ujarnya.
Episod untuk baik pulih isu jalan raya di Mersing mungkin memakan masa yang panjang namun itu merupakan perkara yang paling diharapkan penduduk setempat setelah sekian lama.
Lubuk pelancongan itu sememangnya mempunyai banyak potensi yang besar termasuk menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan sektor ekonomi, malah tidak mustahil menjadi hab pelancongan antarabangsa.
Bagaimanapun, matlamat itu perlu digerakkan bermula dari peringkat bawah khususnya aspek keselesaan jalan raya untuk mengajak lebih ramai pengunjung hadir ke bumi bertuah itu.
Sebelum ini, Astro AWANI turut membawakan liputan khas berhubung isu sama sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.
Suara sama yang dinyatakan penduduk kali ini yang cukup mengharapkan agar perubahan yang besar dapat dilakukan membabitkan masalah berkenaan.