Menurut calon Perikatan Nasional (PN) P.108 Shah Alam, Dr Afif Bahardin, agensi-agensi kerajaan yang mempunyai peranan bertindan wajar disatukan supaya sumber dapat disepadukan untuk tujuan tersebut.
Katanya, selagi mana dasar-dasar berkaitan tidak diubah, kita tidak akan dapat mencapai matlamat untuk menghasilkan lebih banyak usahawan yang hebat-hebat di masa mendatang.
“Kerana itu agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan beberapa agensi lain yang mungkin bertindan peranannya supaya dapat digabungkan.
“Saya lihat perlu ada penyusunan semula, bersesuaian dengan perubahan global, dengan norma baharu yang kita hadapi selepas COVID-19,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Oleh hal demikian, tegas Afif, perlunya kepimpinan yang jelas, progresif dan sudi mendengar pandangan daripada pelbagai pihak terutamanya mereka di peringkat bawahan.
Perkara tersebut, katanya, telah ditunjukkan oleh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin waima ketika beliau menjadi Perdana Menteri tempoh hari di mana Majlis Ekonomi Negara bersidang hampir setiap minggu bersama teknokrat, ahli korporat, pakar-pakar dan peniaga di akar umbi.
“Usaha tersebut telah Tan Sri Muhyiddin Yassin teruskan dalam Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan beliau dan saya lihat itulah contoh kepimpinan yang perlu ada hari ini,” katanya.