KUALA LUMPUR: Kelewatan pemberian vaksin tidak boleh diterima dan perlu dipercepatkan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan bertindak pantas kerana ia melibatkan kesihatan rakyat.

"Dua bulan sudah berlalu, proses pemberian vaksin bergerak perlahan, di mana silapnya?

"Setakat Isnin lalu, hanya 451,237 individu sudah melengkapkan dua dos suntikan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

"Itu pun melibatkan insan terpilih. Rakyat? sila tunggu," katanya dalam akaun media sosial Facebook, pada Khamis.

 
Sumber Facebook zahidhamidi.fanpage


Mengulas lanjut, Presiden UMNO itu mendakwa terdapat ura-ura bahawa pihak lain cuba membawa masuk bekalan vaksin yang diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), namun usaha itu tergantung kerana dilengahkan kementerian berkaitan.

"Contohnya syarikat swasta dan yayasan dari Selangor dan Sarawak, malah ada dalam kalangan rakyat sanggup membayar wang sendiri untuk mendapatkan suntikan vaksin.

"Jika menunggu tindakan kerajaan mungkin berabad lamanya.

"Apa-apa pun saya doakan semoga perjalanan vaksinasi ini dipermudahkan dan rakyat beroleh kesihatan yang baik.

"Allah makbulkan doa kita semua. Selamat berpuasa," tambahnya.