SHAH ALAM: Projek mitigasi banjir kilat di kawasan Puchong yang menelan belanja lebih RM5 juta dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata projek tersebut yang melibatkan kerja penaiktarafan sistem saliran di hadapan pusat beli-belah IOI Mall Puchong telah mencapai 50 peratus.

"Kita telah mulakan projek menaik taraf sistem saliran ini bermula Mei tahun lepas dan ia dijangka siap hujung tahun ini.

"...manakala tiga lagi kerja penyelenggaraan membabitkan kawasan di simpang Lebuhraya Damansara Puchong (LDP)-Lebuh Puteri, sekitar Puchong Indah dan Kampung Bunga Melor di Batu 14 akan dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan bersama pihak berkepentingan projek mitigasi banjir kilat di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Ng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara berkata projek itu dijangka mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan berkenaan selepas sistem saliran dibesarkan serta sebahagian aliran air sedia ada dialihkan ke kolam tadahan berdekatan.

Media sebelum ini melaporkan beberapa siri banjir kilat berlaku di sekitar Puchong sejak tahun lepas yang menjejaskan trafik serta pengoperasian pusat perniagaan.

Berhubung perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) Mobiliti Selangor fasa pertama yang dilancarkan pada 30 Nov tahun lepas, Ng berkata peluasan kawasan perkhidmatan projek itu akan diketahui dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata ketika ini projek rintis itu dilaksanakan di lapan lokasi terpilih yang berkepadatan tinggi dan mempunyai laluan sempit iaitu Puchong, Subang Jaya, Ampang, Petaling Jaya Selatan, Petaling Jaya Utara, Hulu Kelang, Sungai Buloh dan Universiti Putra Malaysia (UPM)-Serdang.

Katanya sistem DRT di Selangor merujuk kepada penggunaan sebuah kenderaan secara perkongsian seperti van dan bas kecil yang dipacu oleh perisian pintar, bagi memastikan pengguna dari lokasi berbeza dapat diambil serta dihantar ke destinasi berbeza mengikut masa yang ditetapkan.

"Sasaran tumpuan lokasi adalah kawasan berdekatan pengangkutan awam utama seperti rel dan stesen bas bagi melengkapi perbatuan pertama dan terakhir sistem pengangkutan awam," katanya.

-- BERNAMA