Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata adalah penting bagi anggota penguat kuasa di negara ini untuk mendekatkan diri dengan tuhan.
"Jika agensi penguat kuasa boleh menjalankan tanggungjawab dengan amanah, Insya-Allah tidak timbul isu ketirisan dan salah guna kuasa," katanya ketika berucap pada Program Ihya' dan Erat Ramadan Bersama #GengSubuhMacamJumaat yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Program seawal 4 pagi dimulakan dengan qiamullail diikuti dengan jamuan sahur dan solat Subuh berjemaah yang dianjurkan bersama EAIC, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama pelopor kempen 'GengSubuhMacam Jumaat' iaitu artis Alif Satar.
Pada majlis itu Mohd Na'im turut melancarkan tabung Geng Sedekah Ramadan yang dilaksanakan oleh JAWI bagi membantu orang ramai bersedekah ketika bulan Ramadan.
Mengulas mengenai sambutan program hari ini, Pesuruhjaya EAIC Datuk Seri Dr Yusof Ismail berkata lebih 10,000 jemaah memenuhi ruang solat utama Masjid Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata EAIC menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan integriti selain mengalakkan umat Islam beribadat ketika Ramadan.
"Kita harap banyak lagi program seumpama dapat dilaksanakan di pelbagai platform secara berterusan... apabila kita dekat dengan Allah, susah untuk kita tergelincir dari landasan," katanya.
Antara pengisian program hari ini termasuk tazkirah mengenai integriti yang disampaikan Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dan pertandingan hafazan al-Quran yang menyaksikan Suhail Jamaludin dinobatkan sebagai juara.
Lebih menarik, seramai lima jemaah bertuah turut membawa pulang satu unit Gold Wafer Coin Habib Jewels setiap seorang setelah memenangi hadiah cabutan bertuah yang disumbangkan Bank Islam Malaysia Bhd.
-- BERNAMA