KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 kertas siasatan dibuka antaranya melibatkan kesalahan merosakkan bahan kempen calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri di enam negeri, yang kesemuanya direkodkan semalam.

Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman ACP A. Skandaguru berkata di Selangor sebanyak lima kertas siasatan dibuka diikuti dengan Pulau Pinang sebanyak empat kertas siasatan dan Kedah sebanyak tiga.

Beliau berkata ini disusuli dengan Terengganu, juga sebanyak tiga kertas siasatan manakala Negeri Sembilan hanya satu kertas siasatan.

"Di Bukit Selambau, Kedah, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana kesalahan mengembangkan permusuhan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) kerana kesalahan jenayah khianat setelah terdapat bendera parti dirosakkan dan dibuang.

Di Selangor, seorang pengadu telah menerima maklumat kain rentang seorang calon yang bertanding di kawasan Kampung Sungai Yu telah diconteng dan dirosakkan manakala di Lenggeng, Negeri Sembilan, seorang ketua wanita sebuah parti politik Cawangan Sungai Machang Ulu membuat laporan difitnah oleh pemilik akaun Facebook," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pada semalam juga, polis telah menerima keseluruhan sebanyak 182 laporan polis dengan Selangor menerima laporan tertinggi sebanyak 62 laporan.

"Ia diikuti Kedah (53), Terengganu sebanyak 34 laporan, Kelantan sebanyak 17 laporan polis, Negeri Sembilan dengan 12 (laporan) dan Pulau Pinang mencatatkan hanya empat laporan sahaja," katanya.

Skandaguru berkata polis juga turut meluluskan sebanyak 274 permit ceramah dengan Terengganu sebanyak 66 permit.

"Diikuti Kedah sebanyak 61 permit, Kelantan (53), Selangor (43), Negeri Sembilan (24) dan Pulau Pinang (27)," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

-- BERNAMA