KUALA LUMPUR: Pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka hari ini selepas tamatnya 14 hari tempoh berkempen.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Sungai Bakap ialah satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR), sebanyak 39,222 orang daripada 39,279 pengundi berdaftar layak mengundi.

Manakala 57 orang terdiri daripada anggota polis telah mengundi secara pos yang menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka untuk PRK itu walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lalu.

Daripada keseluruhan jumlah pengundi berdaftar tersebut, majoriti pengundi terdiri daripada mereka yang berusia 21 hingga 29 tahun iaitu sebanyak 9,598 orang.

Bagi dua calon bertanding, hanya Abidin yang akan mengundi hari ini iaitu di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri memandangkan Joohari adalah pengundi di DUN Sungai Acheh, juga di bawah Parlimen Nibong Tebal.

Sebanyak sembilan pusat mengundi membabitkan 65 saluran dibuka sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi bagi proses pengundian yang akan bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

Pada PRK kali ini, sebanyak 552 petugas SPR digerakkan untuk membantu melancarkan proses pengundian.

Manakala polis pula meletakkan lebih 600 anggota bagi menjaga keselamatan dan kawalan lalu lintas.

Kerusi DUN Sungai Bakap dimenangi Nor Zamri, yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang pada Ogos tahun lepas, menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Ini adalah PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 di mana sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor).