GUA MUSANG: Walaupun menderita penyakit kronik, namun tidak menghalang dua warga emas di Kampung Jeram Tekoh menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri hari ini.

Kedua-duanya mengundi dari atas katil yang diusung petugas Suruhanjaya Pilihan Raya ke saluran mengundi sebaik tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan(SK) Jeram Tekoh di sini dengan menaiki ambulans yang disediakan percuma oleh badan bukan kerajaan (NGO).

Peneroka Wan Ropiah Ishak, 71, sanggup pulang ke kampung halaman itu dari Labok, Machang kira-kira 150 kilometer dari bandar Gua Musang semalam semata-mata untuk memilih wakil rakyat baharu di DUN itu.

"Saya pulang dengan menaiki kereta anak semalam sebelum dibawa menggunakan ambulans ke pusat mengundi 11.30 pagi tadi.

"Saya menghidap banyak penyakit antaranya buah pinggang kronik dan pada April lepas kaki kiri saya terpaksa dipotong pada paras betis akibat kencing manis," katanya kepada pemberita.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, pesakit buah pinggang kronik tahap lima Aziz Mat Isa, 63, tiba di pusat mengundi sama lebih awal iaitu pada 8.50 pagi dengan menaiki ambulans yang sama.

Meskipun terlantar sakit di atas katil, namun Aziz yang berasal di Jeram Tekoh tetap nekad menunaikan tanggungjawab.

Dibantu petugas SPR untuk proses semakan dan undian, beliau selesai melaksanakan proses pengundian kira-kira 10 minit kemudian.

PRK Nenggiri menyaksikan 20,259 pengundi berdaftar dengan 20,216 pengundi biasa dan 43 lagi pengundi pos.

Seramai 2,491 daripada jumlah keseluruhan pengundi di DUN itu terdiri warga emas.

-- BERNAMA