Atikah Abdul Ghani, 25, berkata, dia tidak pernah menyangka tarikh nikah dan bersanding yang dipilih menjadi hari bersejarah apabila ia sama dengan hari pengundian.
“Alhamdulillah saya dan pasangan dari Sepang, Selangor telah selamat diijab kabul pagi tadi. Sekarang ini tunggu majlis bersanding, saya lari sekejap ke sini untuk memilih wakil rakyat.” katanya kepada pemberita.
Menurut kakitangan swasta itu, walaupun hari ini semuanya sibuk dengan pilihan raya, namun majlis perkahwinannya berlangsung dengan meriah.
Ujarnya yang menetap di Kampung Sungai Asap B, dia pernah terfikir untuk menukar tarikh dan sebagainya tetapi sukar kerana semua persiapan perkahwinan telah ditempah.
"Walaupun rasa sedikit kekalutan tetapi rasa teruja," katanya yang pulang pada hari Rabu lalu.
Sementara itu, suaminya, Mohamed Hafizuddin, 25, memberitahu, tarikh hari ini akan menjadi kenangan buat mereka.
"Bukan kami yang ambil tarikh mengundi, tapi mengundi ambil tarikh kami," katanya berseloroh. -Sinar Harian