Keprihatinan pemilik kedai di Sungai Asap B di sini menyediakan kemudahan tersebut memberi nafas lega kepada mereka yang berkenaan untuk mengakses Internet pada hari pembuangan undi.
Pemilik kedai, Kamarudin Wok, 53, berkata, tindakan itu bagi memudahkan penduduk mendapatkan akses Internet.
"Ini merupakan salah satu khidmat sosial saya membantu penduduk di sini.
"Saya akui di sini agak sukar untuk mendapatkan akses Internet," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut beliau, walaupun baharu empat bulan berniaga di sini namun dia gembira dapat berbuat demikian.
Sementara itu, pengamal media, Kamarul Bismi Kamaruzaman, 26, berkata, kemudahan itu membantu memudahkan tugasnya untuk menghantar bahan berita.
"Saya sedikit panik apabila sukar mengakses internet kerana bahan berita perlu dihantar segera. Hendak ke kawasan berhampiran jauh mengambil masa sehingga 45 minit. Kami lega apabila mendapat tahu kedai kopi ini menawarkan WiFi percuma, terima kasih kepada pemilik," katanya
Penduduk, Faiz Mohamed, 28, memberitahu, masalah itu sudah lama berlanjutan sehingga memaksa mereka menaiki bukit berhampiran jika ingin mengakses Internet.
"Kami berharap wakil rakyat yang dipilih pada PRK kali ini akan memberi banyak berita gembira kepada penduduk, terutama dari segi kemudahan," katanya. - Sinar Harian