Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini bersetuju dengan langkah pihak berkuasa mengambil tindakan keras terhadap Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS).

Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, turut melabel pasukan itu sebagai “berbahaya” selain berkata PPS telah "mengambil alih" tugas pasukan polis di negeri itu, menurut laporan portal berita Malaysiakini.

“Ini berbahaya. Saya lihat gambar Ketua Menteri Pulau Pinang dengan ves ungu, ada pangkat. Tapi (mereka) tak berdaftar,” katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sesi aerobik di Taman Tasik Titiwangsa anjuran sebuah stesen radio di sini pagi tadi.

Semalam, polis menahan 154 anggota PPS selepas mereka menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan di Padang Kota, Pulau Pinang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilapor berkata kesemua anggota PPS, termasuk tujuh wanita, ditahan pada 10.15 pagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan.