BESUT: Taktik tujuh lelaki melepaskan gian bermain judi di dalam kawasan semak terbongkar selepas 'port' rahsia dan aktiviti mereka berjaya dihidu pihak polis.

Kesemua lelaki yang berusia berusia 44 hingga 61 tahun itu ditahan dalam semak Kampung Kubang Ikan kira-kira jam 4 petang pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abd Rozak  Muhammad berkata, ketika ditahan kesemua mereka sedang leka bermain judi daun terup.

Jelasnya, serbuan yang dilakukan itu menerusi aduan awam berhubung kegiatan itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dikuatkuasakan.

Katanya, hasil siasatan awal kesemua lelaki yang ditahan itu melakukan aktiviti tersebut sejak dua minggu lalu.

"Menerusi serbuan itu kita telah merampas daun terup dan wang kertas bercampur yang bernilai lebih RM1,700.

"Kesemua mereka yang ditahan dikompaun kerana telah melanggar syarat-syarat dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) di bawah Peraturan 16 Akta 342, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.