Populasi orang utan di Sabah sejak 20 tahun lalu adalah stabil hasil kewujudan hutan baharu yang dilindungi sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sabah, menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO), HUTAN dan Pusat Lapangan Danau Girang, dua badan penyelidikan yang berpusat di Sabah.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, pengarah Pusat Lapangan Danau Girang Dr Benoit Goossens dan pengarah bersama HUTAN Dr Marc Ancrenaz mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri mengenai matlamatnya memperuntukkan 30 peratus hutannya sebagai kawasan dilindungi sepenuhnya kerana ia akan meningkatkan peluang kemandirian orang utan di Sabah.

"Bagaimanapun, perpecahan habitat dan penukaran tanah selanjutnya boleh memberi impak besar kepada populasi orang utan. Contohnya, data dari HUTAN dan Jabatan Hidupan Liar Sabah menunjukkan bahawa populasi orang utan di Muara Kinabatangan ialah kira-kira 1,100 pada awal 2000-an.

"Hari ini populasi orang utan ialah kurang daripada 800. Kegiatan memburu tidak menjadi isu di Muara Kinabatangan. Penurunan populasi ini adalah disebabkan kehilangan habitat dan hakikat bahawa orang utan memerlukan landskap hutan semulajadi yang cukup untuk kemandirian," kata mereka.

Kedua-dua ahli penyelidik itu berkata sekawan kecil haiwan lain yang terpencil pada lewat 1990-an hingga awal 2000-an kerana penukaran tanah kelapa sawit tidak diambil kira semasa kajian orang utan di negeri itu pada awal 2000-an dan kebanyakan populasi kecil ini telah lenyap.

Beliau berkata selalunya ada cara untuk meningkatkan peluang kemandirian jangka panjang orang utan di Sabah termasuk mewujudkan koridor hutan di tahap landskap yang membolehkan orang utan bergerak bebas melintasi landskap dan mencari kawasan baharu untuk menubuhkan wilayah mereka sendiri.

Mereka berkata usaha kerajaan Sabah untuk melindungi 30 peratus hutan perlu dipuji kerana usaha sedemikian dapat menyelamatkan populasi terbesar orang utan.

Mereka berkata langkah Ketua Menteri Sabah untuk membatalkan pembinaan jambatan merentasi Sungai KIinabatangan di Sukau yang jika dibina akan memburukkan lagi populasi orang utan adalah amat dialu-alukan sambil menarik perhatian tentang perlunya memastikan tiada orang utan dibunuh.

Jika insiden itu berlaku, pemburu yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan, kata mereka .

"Kami berdua telah bertugas di Sabah selama lebih 20 tahun dan kami percaya bahawa majoriti populasi utama orang utan di Sabah adalah selamat hasil komitmen daripada kerajaan Sabah untuk melindungi 30 peratus kawasan hutan."

-- BERNAMA