KUALA LUMPUR : Kerajaan Persekutuan mengambil maklum inisiatif dan dasar dalam menangani isu perubahan iklim yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad, ini termasuk inisiatif dan dasar pasaran karbon yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Jelasnya, kementerian itu sedang membangunkan dasar pasaran karbon kebangsaan dan sudah memulakan libat urus dengan kerajaan negeri dan pihak swasta untuk membolehkannya berkembang.

"NRES sedang membangunkan dasar pasaran karbon kebangsaan dan memulakan libat urus dengan pihak kerajaan negeri. 

"Pada masa sama dasar pasaran karbon ini juga dirangka untuk memudahkan pemegang teruh berkaitan sama ada kerajaan negeri atau swasta untuk terlibat dalam industri perdagangan karbon tempatan dan membolehkannya berkembang," katanya. 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab persolan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah yang inginkan penjelasan berkenaan tindakan kementerian untuk menyelaraskan proses bidang kuasa Kerajaan pusat dan negeri untuk penjanaan kredit karbon daripada hutan Malaysia.

Jelas Nik Nazmi lagi, Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara pada 31 Oktober tahun lalu menyatakan Malaysia kekal teguh dengan pendirian bahawa negara maju perlu segera memenuhi komitmen bagi menggerakkan usaha negara-negara membangun dalam melaksanakan tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.

"Kerajaan mengambil maklum bahawa dasar dan inisiatif dalam menangani isu perubahan iklim khususnya yang dilaksanakan pihak kerajaan negeri.

"Sememangnya tindakan pengurangan atau penyerapan gas rumah kaca (green house gas) yang dilaksanakan akan menyumbang secara lansung kepada pencapaian sasaran pengurangan GSG negara yang turut mencerminkan komitmen negara di dalam menyumbang kepada tindakan perubahan iklim di peringkat antarabangsa," jelasnya. 

Bagi meneruskan inisiatif dan dasar perdagangan karbon, beliau menjelaskan Kerajaan Persekutuan akan terus membantu dari aspek memberi nasihat, bantuan teknikal, latihan, penyelidkan dan pembangunan dalam sektor perhutanan kepada kerajaan negeri.