KOTA TINGGI: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang mengkaji kaedah terbaik untuk memulihara kawasan hutan yang terputus daripada koridor hidupan liar bagi mengelakkan hidupan itu memasuki kawasan diduduki manusia.

Menteri berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata habitat yang terjejas merupakan isu utama dalam konflik manusia-hidupan liar dan usaha memelihara serta menambah kawasan perlindungan ialah penyelesaian yang ideal.

"Kita ada central forest spine di Banjaran Titiwangsa sampai ke selatan tapi ada beberapa kawasan dah terputus koridor hidupan liar ... bila tidak ada hutan atau kawasan perlindungan yang bersambung (koridor hidupan liar), hidupan liar akan masuk ke kawasan kampung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semalam selepas menyerahkan Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) kepada 21 penerima yang layak di negeri Johor melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM38,000.

Selain itu, Nik Nazmi berkata beliau akan mengusulkan kepada Kementerian Kewangan dalam pertemuan yang dijadualkan bulan depan untuk meningkatkan peruntukan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam Belanjawan 2025 bagi meningkatkan keupayaan agensi berkenaan menangani konflik hidupan liar.

"Perhilitan perlu diberi tumpuan lebih juga sebab konflik hidupan liar semakin bertambah jadi kalau nak harapkan peruntukan sama atau bilangan anggota sama, ia tidak mencukupi," katanya.

Inisiatif BKHT merupakan satu bentuk bantuan kewangan secara one-off kepada penduduk kampung, komuniti setempat, Orang Asli, petani, nelayan dan penternak yang terjejas dan mengalami kerugian atau kerosakan harta benda dan tanaman akibat konflik hidupan liar.

Inisiatif ini diperkenalkan pada 2024 melalui peruntukan RM10 juta daripada Kementerian Kewangan dan setakat ini, 91 pemohon di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada inisiatif BKHT dengan jumlah bayaran lebih RM300,000.

-- BERNAMA