KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berharap hasrat untuk memperkasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan dimasukkan dalam Belanjawan 2025.

Beliau berkata pertemuan bersama Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan pasukannya telah diadakan bagi membincangkan perkara berkenaan selain memberi penjelasan mengenai keperluan memperkasa satu daripada jabatan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) itu.

"Jabatan ini bergantung kepada peruntukan kerajaan, jadi kalau nak perkasakan kita boleh misalnya denda dikeluarkan JAS yang sudah dinaikkan kepada RM100,000 hingga RM10 juta itu, yang kini dimasukkan sepenuhnya kepada kerajaan melalui Akaun Disatukan, mungkin dibolehkan sebahagiannya dikekalkan (diberi) kepada JAS.

"Daripada situ (peruntukan itu) boleh digunakan untuk memantapkan gerak kerja kerana antara kekangan JAS ini ialah peralatan, bilangan kakitangan dan kenderaan yang ada itu tidak dapat 'kejar' dengan masalah pencemaran yang berlaku dan perlu diatasi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Forum Amalan Terhadap Dasar Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Jenama 2024 di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata Kementerian Kewangan bersifat terbuka mengenai cadangan dikemukakan NRES dan perbincangan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti medium terbaik untuk melaksanakannya.

Beliau berkata menerusi Belanjawan 2025 juga, kementerian mahu merealisasikan penubuhan Pusat Biodiversiti Malaysia (MBC) yang telah dibincangkan sejak 1990-an.

"Penubuhan MBC ini juga kita ingat boleh dimasukkan ke dalam Belanjawan 2025 nanti kerana keputusan dasar mengenainya sudah ada cuma tinggal cara kita nak mengoperasikannya, sebab kita nak buat ia sebagai kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta.

"Selain itu, kita juga memandang ke hadapan untuk terus memperkasakan kerangka Bandaraya Rendah Karbon yang dijalankan MGTC (Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia) bagi memastikan ia lebih efektif dan menyeluruh," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Nik Nazmi berkata NRES komited untuk memajukan matlamat kemampanan negara dengan pendekatan komprehensif yang menyepadukan prinsip ESG.

"Kami giat menyemak dan mengukuhkan dasar sedia ada untuk menetapkan Malaysia di landasan betul untuk masa depan yang mampan.

"Ini termasuk pembangunan Pelan Hala Tuju Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC), yang menggariskan tindakan khusus diperlukan untuk mencapai matlamat tindakan iklim," katanya.

-- BERNAMA