KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang buruh dan merampas pelbagai dadah seberat 553.7 gram yang dianggar bernilai RM33,038 di Tok Adis, Kuala Ibai, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di rumahnya kira-kira 5.30 petang.

"Pemeriksaan dalam beg silang lelaki itu menemukan pil kuda dan heroin yang dibungkus dalam peket dan botol plastik.

"Polis turut menyita wang tunai RM200 dan sebuah kereta Perodua Axia daripadanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki terbabit yang didapati positif terhadap dadah jenis Methamphetamine dan memiliki tujuh rekod lampau berkaitan dadah kini disiasat mengikut Seksyen 39B serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA