KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima dua laporan berkaitan penipuan tawaran penjualan kit ujian COVID-19 tidak wujud di Selangor, melibatkan kerugian berjumlah RM710,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata laporan berkenaan dibuat dua ahli perniagaan, Januari lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, dua mangsa itu telah mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat yang mendakwa boleh membantu dalam pembelian kit ujian pengesanan COVID-19 dari syarikat pengeluar di China.

"Mengikut laporan dibuat, seorang daripada mangsa memaklumkan dia membuat pembayaran sebanyak RM600,000 bagi 100,000 kit ujian termasuk kos penghantaran.

"Setelah pembayaran dilunaskan, kit ujian yang dibeli tidak diterima. Mangsa seterusnya membuat semakan dengan syarikat pengeluar di China dan mendapati tiada sebarang pesanan diterima oleh pihak pengeluar," katanya dalam sidang media khas di Menara KPJ, di sini hari ini.

Mohd Kamarudin turut mengingatkan orang ramai khususnya peniaga agar sentiasa berwaspada dan membuat semakan sebelum membuat transaksi pembayaran, terutama apabila melibatkan amaun yang besar bagi mencegah kes penipuan itu terus berleluasa.

Sementara itu, beliau berkata polis mengesan kegiatan penggodaman akaun bank melalui muat turun fail 'Android Package Kit' (APK) dan telah menerima lima laporan setakat ini melibatkan kerugian RM58,844.

Katanya berdasarkan siasatan, sindiket akan menggunakan laman sosial Facebook untuk mengiklankan penjualan barangan atau perkhidmatan saluran televisyen.

"Mangsa yang berminat dengan tawaran kemudiannya akan menghubungi pihak sindiket melalui Whatsapp dan mangsa akan diberikan pautan fail APK dan diarahkan memuat turn serta memasang aplikasi itu di peranti telefon pintar.

"Setelah selesai dipasang, aplikasi itu akan menggantikan sistem SMS (khidmat pesanan ringkas) sedia ada dan mangsa diarahkan untuk mendaftar sebelum diberikan akses bagi menggunakan aplikasi itu," katanya.

Jelasnya maklumat yang diperlukan untuk pendaftaran termasuklah nama, nombor kad pengenalan, emel, butiran kad kredit dan butiran perbankan dalam talian.

Beliau berkata setelah semua maklumat dimasukkan dan paparan 'page error' akan ditunjukkan kerana aplikasi ini tidak dipautkan kepada sistem perbankan yang tulen.

"Hakikatnya pemasangan aplikasi dan proses pendaftaran yang dibuat hanyalah semata-mata untuk mendapatkan akses terhadap kandungan SMS serta butiran perbankan yang dimasukkan mangsa, yang akan digunakan untuk memindahkan wang dari akaun mangsa," katanya.

Mohd Kamarudin berkata setakat ini pihak polis telah menerima lima laporan berkaitan modus operandi itu iaitu tiga kes di Johor dan masing-masing satu kes di Pulau Pinang dan Sabah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Selain itu, polis percaya dalang sindiket ini masih berada dalam negara dan mereka menggunakan 'akaun keldai' dalam melakukan kegiatan mereka.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan iklan di media sosial, jangan muat turun fail APK dan hubungi 'CCID Scam Response Center' di talian 03-26101559 / 03-26101599 untuk mendapatkan nasihat lanjut," katanya.

-- BERNAMA