KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam adalah antara 10 individu yang ditahan kerana disyaki dalang pengedaran dadah, yang melibatkan jumlah rampasan lebih RM2 juta dalam dua operasi berasingan, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, kesemua suspek berusia 27 hingga 52 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan bermula 5 September lalu.

Beliau memberitahu, dadah yang dirampas itu mampu menampung penggunaan 30,000 penagih dadah.

"Semakan juga mendapati empat daripada 10 suspek itu postif methamphetamine manakala tujuh suspek mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Kok Chin menambah, dalam serbuan pertama, Ops Telomian yang dilancarkan di sekitar Taman Bukit Cheras dan Desa Tun Razak, Kuala Lumpur serta Kajang, Selangor dengan enam siri serbuan dan tangkapan.

"Tiga lelaki dan dua wanita termasuk warga Thailand yang disyaki ahli sindiket pengedaran dadah berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan dadah jenis syabu, ganja dan pil erimin 5 dengan anggaran berat 50.33 kilogram (kg) selain merampas pelbagai peralatan pembungkusan dadah seperti penimbang digital, pelekat dan plastik," ujarnya.

Kok Chin berkata ekoran tangkapan itu, serbuan dibuat ke atas sebuah kuarters kerajaan di Kajang dan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dipercayai dalang kepada aktiviti pengedaran dadah itu ditahan. 

Beliau berkata dalam operasi kedua, pihaknya melancarkan empat siri serbuan menerusi Ops Tosa di Taman Perdana dan Kempas Indah, Johor Bahru serta Kota Puteri, di Masai, Johor.

Beliau berkata hasil serbuan, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita disyaki terbabit sindiket pengedaran dadah dan pemeriksaan ke atas sebuah motosikal, kereta Honda City dan dua rumah menemui dadah jenis syabu, heroin dan pil yaba serta 499 biji pil erimin 5 dengan keseluruhan berat 5.606 kg.

"Hasil kesemua serbuan ini, dadah dirampas dianggarkan bernilai RM2 juta. Polis turut menyita tiga kereta, wang tunai RM68,046 dan lima barang kemas dengan keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM151,416,” katanya.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu adalah mendapatkan bekalan dalam kuantiti besar sebelum dijual secara kecil-kecilan kepada pengguna di pasaran tempatan.