KUALA LUMPUR: Kenyataan mengenai kos sijil halal tinggi adalah tidak benar, kata Ketua Perundingan Halal, HDC Berhad, Dhaliff G. Anuar.


Ringkasan AI
  • Yuran untuk mendapatkan sijil halal bagi perniagaan kecil adalah serendah RM100 setahun. Kos tinggi yang dibangkitkan sebenarnya berkaitan dengan penambahbaikan premis untuk memenuhi tuntutan halal, bukan yuran sijil halal itu sendiri. Kos tinggi juga disumbangkan oleh perkhidmatan perunding halal, tetapi perkhidmatan ini tidak wajib kerana pemohon boleh memahami dan memohon sijil halal sendiri.


Jelas beliau, yuran untuk mendapatkan sijil halal adalah serendah RM100 sahaja bagi perniagaan kecil.

"Saya kurang bersetuju kos tinggi untuk mendapatkan sijil halal. Kos yang ada untuk mendapatkan sijil halal hanyalah yuran untuk mendapatkan sijil. Bagi industri kecil, yurannya hanya RM100 setahun. 

“Pun begitu, saya faham keluhan daripada industri kecil mengenai kos-kos tersebut yang sebenarnya bukan kos pensijilan halal. Sebaliknya, kos penambahbaikan premis yang akan menggunakan kos yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Dhaliff menjelaskan isu kos yang dibangkitkan tidak bersabit dengan yuran permohonan sebaliknya kos untuk menyesuaikan perniagaan untuk memenuhi tuntutan halal termasuk ubah suai premis dan tambah baik proses-proses berkaitan.

Selain itu, beliau mengakui kos untuk mendapatkan perkhidmatan perunding halal merupakan penyumbang kepada kos yang tinggi.

"Biasanya isu kos ini juga melibatkan kos perunding yang mahal. Benar, kos konsultan itu ada kos sendiri tetapi perkhidmatan perunding ini tidak wajib. 

“Sesiapa sahaja yang mahu mendapatkan sijil halal boleh mendalami kehendak halal. Banyak program yang ada untuk mendapatkan kefahaman mengenai halal. Sekiranya kita faham halal, kita mohon sijil halal sendiri tanpa perkhidmatan sesiapa,” katanya.

Polemik sijil halal ini bermula pada Khamis lalu, apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan babi dan alkohol memiliki sijil halal.

Sehari selepas itu, Teresa Kok dipetik berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil selain akan menambahkan kos pentadbiran.

Teresa selesai memberi keterangan di Bukit Aman mengenai polemik sijil halal ini pada Selasa.