Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, hal ini terbukti menerusi kunjungan beliau ke beberapa negara termasuk ke Vladivostok, Rusia, baru-baru ini.
"Umpama kunjungan kita ke luar negara, sama ada di ASEAN, China, Eropah, Dunia Arab tentunya, baru-baru ini ke Rusia, hampir tidak terlepas bicara dengan pemimpin-pemimpin menekankan keperluan dan permohonan mereka supaya Malaysia berikan kerjasama, bukan sahaja dari segi pensijilan, tetapi dari segi perdagangan soal kegiatan halal. Jadi sektor halal ini tentunya didorong oleh faktor lain," katanya.
Beliau berkara demikian ketika berucap di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di MITEC Kuala Lumpur pada Selasa.
Anwar sekali lagi menekankan ekosistem sektor halal termasuk penambahan nilai, kebersihan dari segi kesihatan, keaslian yang telah mengangkat produk dan perkhidmatan halal Malaysia ke taraf yang lebih tinggi.
Tegas beliau lagi, Malaysia memiliki potensi cerah dan mampu menerobos ke pasaran antarabangsa termasuk negara Barat dan Timur dalam industri halal.
Dalam pada itu, Anwar berkata, industri halal yang bersifat menyeluruh mampu melengkapi ekonomi Islam terutamanya dalam aspek perdagangan.
Beliau berkata, industri halal akan meliputi setiap kumpulan masyarakat termasuk petani, nelayan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) malah kedai runcit yang memastikan penyertaan lebih luas.
"Dalam mencapai maksud Ekonomi MADANI dan semangat Maqasid Syariah, ia mesti merangkumi hampir keseluruhan rakyat,” katanya.