Keterangan Fahmi direkodkan di Bukit Aman selepas hadir kira-kira jam 8.15 pagi, pada Khamis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ ) Bukit Aman selepas laporan diterima pihaknya pada Rabu.
"Laporan dibuat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kenyataan yang dimuat di Facebook itu.
"Siasatan mengenai karikatur serta kenyataan yang dipercayai dimuat naik untuk mengkritik, menghasut, cuba membangkitkan kebencian dan provokasi terhadap beliau (Musa) serta Ke-Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau berkata, perkara itu mengundang sensitif berkait isu 3R (raja, kaum dan agama).
Tambah Razarudin, kes ini mengganggu keselamatan dan keharmonian negara.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
Pada Rabu, media melaporkan kenyataan dimuat naik Fahmi di aplikasi X yang mengatakan dia akan bertemu polis di Bukit Aman pada 8 pagi, Khamis. - Sinar Harian