JOHOR BAHRU: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM13.59 juta dan memberkas lima individu berkaitan sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak September tahun lepas.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata seorang bekas banduan yang baru dibebaskan pada Julai 2022 disyaki menjadi dalang kepada satu sindiket berkenaan, diberkas bersama empat lagi individu melalui serbuan bermula 5 Jan hingga pukul 8 malam semalam.

Beliau berkata suspek yang berusia 29 tahun ditahan di sebuah kondominium mewah di Bandar Seri Alam yang disewa sejak Julai 2023 dengan dua lagi lelaki bersama seorang wanita, manakala seorang lagi wanita ditahan di Gelang Patah.

"Modus operandi sindiket ini dengan menjadikan kondominium mewah yang mempunyai pagar dan pengawal keselamatan sebagai stor simpanan, serta aktiviti membungkus semula dadah yang diperoleh dari luar Johor sebelum diedarkan.

"Hasil serbuan yang dilakukan polis merampas 73.55 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 20.29kg ketamin, 9,750 biji pil erimin dan 26 biji pil ekstasi yang bernilai lebih RM13.59 juta," katanya.

Kumar berkata jika dadah berkenaan dipasarkan, ia boleh digunakan lebih 350,000 penagih.

Beliau berkata dalam serbuan yang dilakukan, pihaknya turut menyita tiga kereta, sebuah motosikal, jam tangan, pelbagai barang kemas, wang tunai RM550 dan akaun syarikat dengan jumlah wang sebanyak RM87,741.80 disyaki hasil aktiviti pengedaran dadah.

"Nilai rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM14.2 juta. Tiga daripada lima mereka yang ditahan didapati positif ketamin dan seorang lagi mempunyai rekod kes dadah.

"Dalang sindiket ini pernah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 berhubung aktiviti pengedaran dadah pada tahun 2021 dan semua suspek ditahan reman sehingga 11 Jan ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Kumar berkata pihaknya turut sedang mencari seorang lagi individu yang dikenali sebagai Chang Siew Yin, 38, yang beralamat di Melaka bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA