KUALA LUMPUR: Polis telah merakamkan percakapan waris kepada kanak-kanak bawah umur yang memandu kereta di Taman Putra Impiana, Puchong, Selangor, pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian melalui video tular di media sosial, pada 6.30 petang semalam.

"Siasatan awal  kanak-kanak berusia 12 tahun memandu kereta jenis Perodua Viva bersama adik-adiknya yang masing-masing berusia 4 dan 6 tahun untuk bersiar-siar di taman perumahan kediaman, jam 8 malam, Ahad lepas.

"Polis berjaya mengesan waris kepada adik-beradik itu dan bapa mereka telah tampil ke balai polis untuk dirakamkan percakapan dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Wan Kamarul Azran berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.