SEPANG: Bapa dan anaknya berusia 12 tahun yang tular memandu kereta membawa dua adik di kawasan Taman Putra Impiana di Puchong akan didakwa berkaitan kesalahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kes berkenaan sudah menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk dilaksanakan pertuduhan.

"Kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 39 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan 1987.

"Bapanya akan dituduh mengikut Seksyen 39 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 serta Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berikutan itu, polis telah merekod keterangan tujuh individu termasuk bapa kanak-kanak berusia 53 tahun yang juga seorang peniaga.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan satu rakaman video tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun memandu kereta Perodua Viva dengan membawa dua adiknya berusia empat dan enam tahun.

Siasatan polis mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam, Ahad lalu.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian