KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia telah menerima 14 laporan berkaitan sindiket penipuan perkhidmatan mengeluarkan wang tunai eBeliaRahmah daripada akaun e-dompet dengan nilai kerugian RM2,800.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa melihat tawaran perkhidmatan pengeluaran wang tunai eBeliaRahmah di TikTok dan Facebook Messenger.

"Suspek menawarkan perkhidmatan untuk memindahkan wang daripada akaun e-dompet kepada akaun bank mangsa.

"Suspek kemudian meminta mangsa untuk membuat imbasan (scan) pada kod QR yang diberikan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Ramli berkata, mangsa mendapati nilai e-dompet telah dipindahkan keluar, namun tiada sebarang kemasukan wang ke dalam akaun banknya.

"Suspek kemudiannya gagal dihubungi, mangsa kerugian RM200 akibat terpedaya. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Program eBeliaRahmah ialah inisiatif kerajaan yang diumumkan di bawah Belanjawan 2023 bagi memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia, selain meringankan beban kewangan golongan berusia 18 hingga 20 tahun dan pelajar insititusi pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa.

RM200 yang dikreditkan kepada akaun e-dompet kira-kira dua juta penerima bermula 26 Jun lalu melalui program itu untuk digunakan bagi pembelian fizikal di premis perniagaan melalui penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat, iaitu Boost, Setel dan Touch n Go eWallet.

Dalam terma dan syarat program, telah dinyatakan bahawa bantuan RM200 itu tidak boleh ditunaikan atau dipindahkan kepada akaun lain dan tindakan akan diambil sekiranya penerima didapati berbuat demikian. - Sinar Harian