KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai mengumpil dua tabung derma di Masjid An-Nur di USJ 4 Subang Jaya pagi Ahad yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM3,000.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat dalam kenyataan berkata perbuatan suspek yang memakai baju biru, seluar panjang berwarna coklat dan menggalas beg p-hailing mengumpil dan mengambil wang tabung di lobi masjid itu, dirakam kamera litar tertutup pada 11.40 pagi Ahad.

Beliau berkata kejadian itu disedari setiausaha masjid pada 9.30 malam hari yang sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil menyalurkan maklumat dan memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627222 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya)," katanya.

-- BERNAMA