Seorang remaja lelaki warga Rohingya berusia 17 tahun berjaya diselamatkan polis selepas tujuh hari dikurung sindiket pemerasan Gang Saiful di sebuah rumah di Taman Desa Kesatria, Kok Lanas jam 2.30 pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Ab Rahman Ismail berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan dari sepupu mangsa yang berusia 19 tahun pada 26 Mac lalu.

Katanya, sebelum itu sepupu mangsa menerima panggilan dari suspek memaklumkan mangsa dilarikan pada 21 Mac lalu di sekitar Kok Lanas dan meminta wang RM30,000 untuk melepaskan mangsa.

“Pada 21 Mac, lima hari sebelum remaja ditemui, polis telah menerima panggilan telefon dari sepupu mangsa dan berkata mangsa telah ditahan dua lelaki Melayu dan dua lelaki Myanmar di kawasan berbukit dan ditutup.

"Masa itu pengadu mendakwa sepupunya telah diugut agar menyerahkan sejumlah wang RM30,000 dan jika tidak dapat, mangsa mungkin akan dibunuh,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian petang tadi.

Susulan itu, pihak polis telah menyerbu beberapa lokasi di sekitar Kota Bharu dan Tanah Merah dan menahan 10 suspek berusia sekitar 20 sehingga 30 tahun.

Polis katanya berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh 48 jam.

Menurutnya, kini pihaknya sedang memburu tiga lagi suspek termasuk seorang suspek utama dikenali sebagai Saiful, yang merupakan seorang etnik Rohingya.

Beliau percaya kumpulan ini yang didalangi warga Rohingya dan warga tempatan sudah bergiat aktif melakukan jenayah memeras warga Rohingya sejak 15 tahun lalu namun tiada laporan dibuat.

Semua suspek direman dua sehingga empat hari dan disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.