KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan satu kehilangan besar bagi negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pemergian mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban ketika bertugas di sempadan Malaysia - Thailand awal pagi Selasa.

Menurut Muhyiddin, beliau dukacita kerana mendiang terkorban akibat terkena tembakan ketika bertugas dalam Op Benteng.

Sehubungan itu, beliau secara peribadi dan kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Dalam masa sama, Muhyiddin menzahirkan kesedihan beliau apabila seorang lagi anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Norihan a/l Tari yang bertugas bersama mendiang Baharuddin cedera terkena tembakan di bahagian perut.

"Mendiang Koperal Baharuddin dan Koperal Norihan adalah petugas barisan hadapan yang bertugas mengawal sempadan negara daripada dicerobohi khususnya ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.

"Saya berharap ahli keluarga mendiang bersabar dengan ujian ini dan berdoa supaya Koperal Norihan cepat sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Muhyiddin, kerajaan amat menghargai jasa dan pengorbanan mendiang dan Norihan serta semua petugas barisan hadapan negara yang berkhidmat dengan penuh semangat dan dedikasi.

"Saya mendoakan anda semua sentiasa berada dalam keadaan selamat dan dilindungi Allah SWT," katanya.

Susulan kejadian jam 3.10 pagi tadi, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar untuk proses bedah siasat sementara mangsa yang cedera pula sedang menerima rawatan di hospital yang sama dengan keadaannya dilaporkan kritikal.


BACA: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

BACA: Kes tembak anggota PGA di sempadan: 6 anggota sindiket penyeludupan ditahan