Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan o-cha mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pelantikannya semula sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.

Thailand dan Malaysia, beliau berkata sebagai sebuah negara berjiran sudah sekian lama menjalinkan hubungan rapat dengan dipertingkatkan melalui pertukaran lawatan peringkat tertinggi serta hubungan antara rakyat dan rakyat sejak 60 tahun lepas.

"Hubungan antara kedua-dua negara semasa tempoh anda (Dr Mahathir) sebagai Perdana Menteri Malaysia sudah berkembang dalam banyak bidang, termasuk dengan penubuhan Suruhanjaya Bersama Untuk Kerjasama Dua Hala yang menjadi mekanisme utama dalam memacu hubungan dua hala sehingga sekarang," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Thailand pada Jumaat.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa hubungan kerjasama antara kedua-dua negara akan terus dipertingkatkan di bawah kepimpinan Dr Mahathir.

Kerajaan Diraja Thailand menurut Prayut, berharap dapat bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia bagi memperkukuh dan mengeratkan lagi hubungan dua hala untuk faedah bersama.

-- BERNAMA