Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas setiausaha agung ASEAN, Dr Surin Pitsuwan di Bangkok.

"Dukacita mendengar mengenai pemergian Surin Pitsuwan, bekas setiausaha agung ASEAN dan (bekas) menteri luar Thailand. Satu kehilangan besar bukan sahaja kepada ASEAN tetapi juga kepada dunia diplomasi. Al-Fatihah," menurut Najib dalam catatannya menerusi Twitter.



Allahyarham Surin, 68, meninggal dunia akibat serangan jantung.

Surin rebah ketika sedang bersiap untuk menghadiri Perhimpunan Halal Thailand 2017 dekat Bangkok dan dikejarkan ke Hospital Ramkhamhaeng sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 3 petang waktu tempatan.

BACA: Belasungkawa: Tan Sri Dr Surin Pitsuwan

BACA: Tan Sri Surin Pitsuwan meninggal dunia akibat serangan jantung

Surin merupakan timbalan menteri luar Thailand dari 1992 hingga 1995 sebelum dilantik sebagai menteri luar dari 1997 hingga 2001 di bawah kepimpinan Perdana Menteri Chuan Leekpai.

Pada 1 Jan, 2008, beliau dinamakan sebagai Setiausaha Agung ASEAN.

-- BERNAMA