SANDAKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan kerja ke Indonesia pada minggu hadapan bagi bertemu Presiden negara itu, Joko Widodo.

Menurutnya, apabila bertemu dengan Jokowi nanti, antara fokus perbincangan beliau adalah bagaimana memajukan kawasan-kawasan sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia.

“Minggu depan saya akan pergi ke Indonesia berjumpa dengan Bapak Jokowi dan salah satu perbincangan saya dengan Bapak Jokowi ialah bagaimana kita nak bangunkan kawasan-kawasan sempadan.

“Sebagai contoh Kalabakan, ia merupakan kawasan sempadan dengan Indonesia. Indonesia sedang majukan kawasan sempadan mereka dan kita nak supaya kawasan sempadan Sabah yang bersempadan dengan bandar baru di sebelah sana kita majukan,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Pimpinan Masyarakat Daerah Sandakan bersama Perdana Menteri, di Sandakan, pada Jumaat.

Ismail Sabri berkata, sekiranya ingin memajukan kawasan itu, ia bermakna isfrastruktur di sempadan juga harus dinaik taraf.

Antara kawasan yang akan ditumpukan ialah Kalabakan, di Tawau.

Katanya, kemungkinan kawasan-kawasan sempadan seperti Kalabakan mungkin akan dibangunkan sebagai kawasan pelancongan.

Terdahulu, beliau tiba di Sandakan, pada Jumaat dalam rangka lawatan kerja ke Sandakan dan Kinabatangan.

Ia lawatan pertama Ismail Sabri ke Sandakan dan Kinabatangan serta yang kedua ke Sabah selepas dilantik Perdana Menteri kesembilan pada Ogos lalu.

Beliau dijangka melancarkan projek Lebuhraya Pan Borneo bagi pakej Pantai Timur Sabah di Dataran Tapak Tamu Kinabatangan, pada pagi Sabtu.