KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin merafak sembah tahniah kepada Sultan Ibrahim sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang mewakili Kerajaan Perpaduan turut berdoa supaya Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan kedaulatan.

Menerusi hantaran di laman Facebook beliau, Anwar turut mendoakan agar Baginda kekal 'qarar' atau tenang dalam memayungi negara serta adil dan saksama.

Beliau juga mendoakan agar Baginda berada pada kedudukan paling tinggi dalam perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam selain menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini.

Anwar turut menyatakan bahawa beliau dan rakyat akan terus menzahirkan ketaatan dan kesetiaan kepada institusi raja berperlembagaan.