KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga bekas Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia pagi ini.

Perdana Menteri dalam satu hantaran di akaun media sosial turut berkongsi rasa sedih atas pemergian Allahyarham Abdul Taib Mahmud pada sekitar pukul 4.28 pagi tadi.

"Saya mewakili pentadbiran Kerajaan MADANI mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan rakyat Sarawak.

"Sesungguhnya kita, terutama rakyat negeri Sarawak kehilangan seorang sosok negarawan yang dihormati," tulis Perdana Menteri.


Tambah beliau, segala jasa dan bakti Allahyarham kepada negara dan negeri Sarawak akan sentiasa dikenang buat selamanya.

Jenazah Allahyarham kini berada di Masjid Negara, ibu negara untuk dimandi dan dikafankan sebelum diterbangkan balik ke Kuching pada pukul 1 tengah hari ini.

Allahyarham Abdul Taib menghembuskan nafas terakhir di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) pada usia 87 tahun.

Berita duka pemergian pemimpin itu disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof kepada Astro AWANI.