Perdana Menteri berkata, beliau berbesar hati menerima penghormatan tersebut daripada universiti yang telah melahirkan pemimpin dan idea yang menggerakkan kebangkitan luar biasa China.
“Sesungguhnya, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang terkenal dengan kemajuan termaju dalam sains, teknologi dan inovasi, Tsinghua ialah universiti yang dinamik.
“Saya menerima penghormatan ini bagi pihak rakyat Malaysia, sebagai simbol persahabatan yang berkekalan antara negara kita dan aspirasi bersama untuk keamanan, kemajuan serta kemakmuran,” katanya dalam kemas kini di laman Facebook pada Isnin.
Perdana Menteri melakukan lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November atas jemputan rakan sejawatannya, Premier Li Qiang bagi menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7).
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, beliau berharap gelaran profesor kehormat itu menandakan permulaan kerjasama yang lebih besar antara Universiti Tsinghua dan institusi Malaysia.
Jelas beliau, melalui pertukaran akademik dan budaya, negara boleh memupuk generasi pemimpin baharu yang berasaskan penghayatan terhadap budaya, perspektif serta aspirasi masing-masing.
Perdana Menteri juga mengakui tradisi Universiti Tsinghua dalam membina hubungan merentas sempadan dan budaya, suatu legasi yang bermula sejak penubuhannya pada tahun 1911.
Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Universiti Tsinghua dan Kerajaan China atas penghormatan besar itu.
Universiti Tsinghua antara institusi pengajian terbaik di dunia dan secara konsisten menduduki tempat yang tinggi dalam pelbagai ranking akademik global.
Menerusi QS World University Rankings 2024, Universiti Tsinghua berada di kedudukan ke-17 secara keseluruhan dan tempat pertama di China.