NEW DELHI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke India diberi sambutan rasmi di kediaman rasmi Presiden India, Rashtrapati Bhavan.

Anwar yang tiba di India pada Isnin untuk kunjungan sulung ke negara ini sejak menyandang jawatan itu disambut rakan sejawatnya, Narendra Modi.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebelum kedua-dua pemimpin saling memperkenal barisan menteri masing-masing.

Kedua-dua pemimpin itu kemudiannya mengadakan pertemuan dua hala untuk membincangkan hal berkaitan hubungan di antara Malaysia dan India, serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

Anwar dan Modi juga akan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk ekonomi digital, pelancongan, sumber manusia, pendidikan tinggi, sains dan teknologi, serta perubatan tradisional.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Digital Gobind Singh Deo; dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Pada 2023, jumlah dagangan Malaysia dan India mencecah RM76.62 bilion (AS$16.53 bilion), dengan Malaysia menikmati lebihan RM15.89 bilion (AS$3.43 bilion).

India adalah pengimport terbesar minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit Malaysia dengan jumlah import RM11.31 bilion (AS$2.44 bilion).

Import utama Malaysia dari India termasuk produk petroleum (RM6.62 bilion atau AS$1.44 bilion) dan produk pertanian, termasuk daging halal (RM5.79 bilion atau AS$1.27 bilion).

Pada 2023, Malaysia adalah rakan dagangan ketiga terbesar India dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Malaysia dan India mempunyai hubungan sejarah dan sosiobudaya yang rapat.

Pada ketika kedua-dua negara memasuki dekad kedua Perkongsian Strategik Dipertingkat tahun depan, lawatan Anwar dijangka membuka jalan untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-India dengan merangka agenda kerjasama pelbagai sektor untuk masa depan.