Bagi tujuan itu beliau mahu para penyelidik, pembangun dan pembuat keputusan bekerjasama untuk membangunkan teknologi terkait AI dan mengaplikasikannya secara bertanggungjawab dan beretika.
"Kita telah bersetuju membantu membangunkan ekosistem AI negara dari segi membina pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI, termasuk membina sistem pengkomputeran 'awan' AI Malaysia sendiri.
"Dalam masa yang sama, saya juga ingin tegaskan bahawa nilai-nilai manusia, perlindungan data dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab, semuanya terkesan serta diberi makna yang baharu oleh teknologi ini," katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Inovasi dan Keusahawanan Dalam Pengkomputeran, Kejuruteraan dan Pendidikan Sains (InvENT 2024) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.
Anwar berkata di sebalik peranan AI dalam membantu meningkatkan kualiti hidup, kecekapan dan kreativiti manusia, aplikasi moden serta dinamik itu juga mempunyai sisi gelap yang perlu disedari oleh masyarakat.
Perdana Menteri berkata teknologi deep fake berupaya menghakis kepercayaan kepada realiti digital dan secara asasnya mengubah persepsi masyarakat terhadap realiti, mengancam integriti maklumat dan menimbulkan kekeliruan.
Beliau berkata pendekatan umum kerajaan adalah untuk meminimumkan risiko dengan cara mengenal pasti risiko yang berkait dengan impak AI ke dalam masyarakat dan kehidupan rakyat.
"Namun dalam masa yang sama, kita memerlukan dasar dan undang-undang demi mengelakkan isu ketirisan tatakelola AI," katanya.
Anwar turut menyentuh mengenai bidang kawal selia, dan Malaysia kini terlibat secara aktif dalam membentuk kerjasama ekonomi digital di peringkat Asean, antaranya Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) selain Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 yang dibentangkan Mac lepas.
Perdana Menteri berkata Jabatan Perlindungan Data Peribadi juga sedang dalam peringkat akhir merangka rang undang-undang untuk meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709], selain rang undang-undang perkongsian data nasional, yang sedang digubal oleh Jabatan Digital Negara (JDN).
-- BERNAMA