NEW DELHI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mempunyai jadual yang padat sempena lawatan tiga hari ke India.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Muzaffar Shah Mustafa berkata, selain pertemuan dengan rakan sejawatnya, Narendra Modi, Anwar dijangka mengadakan perjumpaan dengan tiga syarikat tempatan, iaitu Tata Consultancy Services, Emami Agrotech Ltd dan HCLTech.

Perjumpaan itu katanya akan turut disertai delegasi Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Digital serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

"Perdana menteri juga akan adakan pertemuan dengan wakil-wakil syaraikat India, dalam satu pertemuan meja bulat selain mengadakan pertemuan dengan syarikat yang mahu melebarkan operasi di Malaysia.

"India dilihat kuat dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan kenderaan elektrik (EV), yang mahu dimanfaatkan Malaysia manakala India mula berminat terhadap kerjasama dalam bidang industri semikonduktor dengan Malaysia," katanya pada sidang media di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Muzaffar menambah, acara sambutan rasmi pula akan diadakan di perkarangan kediaman rasmi Presiden India, Rashtrapati Bhavan dan disusuli upacara meletakkan kalungan bunga sebagai tanda penghormatan di Tugu Peringatan Ghandi di Kompleks Memorial Raj Ghat.

Kata beliau, Perdana Menteri kemudian dijadual menerima kujungan hormat Menteri Hal Ehwal Luar India, S Jaisankar Prasad, disusuli perjumpaan dua hala tertutup dengan Modi.

Beliau berkata antara tumpuan lawatan itu ialah perbincangan Anwar dan Perdana Menteri India Narendra Modi mengenai penyertaan Malaysia dalam  kesatuan ekonomi dipelopori Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) yang dilihat selari dengan usaha negara tersebut memperkukuh peranannya di arena antarabangsa.

"Pertemuan Anwar dengan rakan sejawatnya itu juga dijangka membincangkan isu rantau Indo-Pasifik ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

"Selain Malaysia, India juga dilihat mengutamakan hubungannya dengan rantau ASEAN dan komited untuk mengeratkan lagi hubungan dengan anggota blok serantau itu selaras dengan Dasar Bertindak Timur negara berkenaan.

Beliau berkata hasrat negara itu untuk membuka kampus luar pesisir Institut Teknologi India di Malaysia dijangka turut dibincang oleh kedua-dua pemimpin.

Anwar dijadual tiba di New Delhi pada 9.40 malam esok waktu tempatan (12.10 tengah malam waktu Malaysia) bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke negara itu.