Anwar dalam lawatan kerja atas undangan kerajaan Indonesia untuk menghadiri Majlis Pelantikan Prabowo sebagai Presiden kelapan republik itu.
Bernama
Sat Oct 19 2024
Anwar dalam lawatan kerja atas undangan kerajaan Indonesia untuk menghadiri Majlis Pelantikan Prabowo sebagai Presiden kelapan republik itu. - Facebook Anwar Ibrahim
JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden terpilih Indonesia Prabowo Subianto di kediamannya di Jakarta Selatan pada Sabtu malam.
Anwar sedang melakukan lawatan kerja di sini mulai Sabtu atas undangan kerajaan Indonesia untuk menghadiri Majlis Pelantikan Prabowo sebagai Presiden kelapan republik itu.
"Malam ini langsung ketemu sahabat sejati dan saudara saya Bapak Prabowo Subianto.
"Insya-Allah, kami akan bekerja dengan lebih dekat dalam suasana persahabatan, tidak hanya di peringkat peribadi, tetapi juga di peringkat kenegaraan yang pasti akan memberi manfaat terbaik kepada rakyat kedua-dua negara," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar tiba di Jakarta pada petang Sabtu untuk menyertai ketua negara asing dan wakil lain bagi upacara mengangkat sumpah Prabowo sebagai presiden baharu Indonesia pada Ahad.
Majlis pelantikan presiden itu akan berlangsung di bangunan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) pada Ahad yang akan bermula 10 pagi waktu tempatan.