Kerja-kerja bagi Projek Pelebaran Lorong Keempat Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi mengatasi kesesakan teruk di sepanjang jaringan lebuhraya ini, kini siap 93 peratus dengan selebihnya masih dalam proses pembinaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata projek yang bermula pada Julai 2012 bernilai RM1.44 bilion itu dijangka siap sepenuhnya sebelum September tahun ini.

"Kerajaan mengambil maklum mengenai kesesakan kritikal dan mendesak di lokasi tertentu pada musim-musim perayaan dan cuti sekolah.

"Projek ini merupakan salah satu usaha menyelesaikan masalah kesesakan yang disebabkan oleh pertambahan bilangan kenderaan yang berlipat kali ganda yang menggunakan laluan dalam tempoh sama," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) yang meminta kementerian menyatakan langkah yang telah dan akan diambil untuk mengatasi masalah kesesakan teruk di Lebuhraya PLUS pada masa-masa tertentu terutamanya bagi jaringan di Selatan Perak.

Menjawab lanjut, Rosnah yang juga anggota Parlimen Papar berkata usaha lain ialah projek membina lorong mendaki di laluan PLUS antara Slim River hingga Sungkai (arah utara) sepanjang 4.5 kilometer yang siap pada hujung 2014 lalu.

Bagi mengurangkan kesesakan khususnya di utara Selangor dan Perak, kerajaan katanya telah meluluskan projek pembinaan lebuh raya Pantai Barat (WCE) melibatkan jajaran dari Taiping ke Banting sepanjang 316 kilometer.

"Lebuhraya ini dijangka siap sepenuhnya pada 2019.

"Di samping itu, kementerian juga merancang menaik taraf jalan Persekutuan 60 (PT60) sedia ada iaitu dari Damar Laut ke Changkat Jering, Perak kepada empat lorong dua hala," katanya.

Katanya, kerja naik taraf melibatkan jarak 70 kilometer itu akan dilaksanakan secara berperingkat mulai Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) tertakluk kepada kelulusan peruntukan yang bakal diterima daripada agensi pusat.